Friday 13 April 2012

Dibuang Melodi? Tak ada komen














MINGGU lepas peminat industri hiburan tempatan kecoh bercerita dan berteka-teki, siapakah pengacara yang bergaduh di pusat hiburan.
Maklumlah cerita begini memang panas, pada hal perkara bergaduh di pusat hiburan bukanlah perkara asing bagi artis kita.
Namun disebabkan yang terbabit adalah selebriti, berita yang kecil pun boleh jadi besar dan disiarkan di muka depan. Berbanding orang biasa, siapa peduli kerana mereka tidak dikenali.
Baru-baru ini, sebuah akhbar tabloid melaporkan seorang pengacara rancangan gosip popular dikatakan menyerang seorang wanita yang sedang meraikan majlis hari lahir rakannya di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan memijak muka mangsa menggunakan kasut tumit tinggi.
Akibat perbuatan pengacara wanita terbabit yang juga bergelar pelakon dan pernah membintangi beberapa siri drama serta telefilem bersama beberapa rakannya menyebabkan mangsa yang berusia 20-an cedera di kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Ampang (HA).
Laman Internet pula lebih hangat lagi dengan kenyataan demi kenyataan yang menjurus perlakuan itu kepada pelakon dan pengacara Dira Abu Zahar.
Meskipun muncul dalam Utusan Malaysia sebelum ini dan menafikan berita itu, nama Dira terus dikaitkan. Malah, laporan polis yang dibuat oleh mangsa yang menyebut nama Dira juga kini sedang beredar di dunia maya. Ini membuatkan banyak pihak menganggap memang benar itu kerja si pengacara Melodi tersebut.
Sikap profesional
Apabila berita disiarkan tidak henti-henti, sudah pasti si artis malu untuk menunjukkan wajah mereka di khalayak dan sekali gus mengelak panggilan telefon daripada pihak media.
Malah ada juga artis yang cepat melenting apabila diaju soalan berkaitan kes yang menimpa diri.
Bagaimanapun taktik itu sudah lapuk. Sekarang artis yang menjadi bualan ramai sudah berani menonjolkan diri dan tidak lagi bersembunyi seperti katak di bawah tempurung.
Dira, bukanlah orang yang bersikap lontar batu sembunyi tangan.
Dia tetap meneruskan kehidupan seperti biasa, walaupun sedar setiap pergerakannya menjadi perhatian.
Sebagai artis profesional, Dira tidak bangun daripada tempat duduk tatkala saya menghampirinya yang ketika dia sedang berbual dengan pelakon Ridzuan Hashim pada sebuah majlis hiburan di Genting Highland Ahad lalu.
Awal-awal lagi, saya sudah diberitahu oleh rakan media yang Dira tidak mahu memberi sebarang kenyataan berkaitan isu pergaduhan di kelab malam awal bulan ini.
Namun bagi memuaskan hati, saya cuba juga menghampiri Dira atau Khaidhirah Abu Zahar yang ketika itu sedang berbual dengan aktor Ridzuan Hashim.
Saya sangka Dira akan melenting apabila diminta komen tentang penggantungannya daripada program Melodi terbitan TV3 dan beberapa soalan lain.
Kalau orang lain mungkin tidak akan 'menayang' wajah mereka di khalayak, gara-gara malu dengan kejadian yang menimpa diri.
Namun tidak bagi Dira kerana dia perlu hadir dalam majlis tersebut kerana ia sebahagian daripada kerjayanya.
Dengan sikap profesional, Dira berkata: "Minta maaf, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan langsung berkaitan isu penggantungan daripada mengacara program Melodi atau tentang kejadian tempoh hari."
"Pihak pengurusan tidak membenarkan saya mengeluarkan sebarang kenyataan sekarang kerana ia masih dalam siasatan. Tunggulah, apabila sudah bersedia, pasti saya akan beri kenyataan pada pihak media."
Memahami kedudukannya yang tersepit itu, saya tidak berani untuk 'menjolok sarang tebuan', takut kesabaran Dira hilang.
Namun perasaan tidak puas hati masih berputik, saya inginkan kejujuran daripada Dira tentang soalan daripada rakan sekerja bahawa adakah Dira yang dimaksudkan wanita yang bergaduh di pusat hiburan itu?
Dalam kenyataannya yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia, 2 April lalu, Dira dengan berani memberitahu dia langsung tidak mengetahui tentang perkara tersebut dan menyifatkan berita mengaitkan beliau itu sebagai satu kesilapan.
"Saya tidak tahu mengapa nama saya dikaitkan dengan perkara ini. Dan kalau boleh saya juga tidak mahu memberi apa-apa komen mengenai hal ini.
"Apa yang pasti, jika kejadian ini berlaku semalam (1 April 2012), saya ada bersama anak sedang membeli-belah jadi tidak mungkin saya merupakan personaliti berkenaan," katanya dalam berita yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia itu.
Apabila Dira berani membuat pengakuan seperti itu, kita yang tidak berada di tempat kejadian pasti percaya dan akan melahirkan perasaan kasihan kenapa dia dijadikan bahan gosip.
Namun sehari selepas kenyataan itu diterbit, wanita yang didakwa menjadi mangsa sepakan Dira sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian mulut dan hidung, tampil membuat kenyataan dalam sebuah blog sambil menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Apabila perkara ini terbongkar dengan bukti jelas, sudah pasti ia memberi impak kepada Dira yang sebelum ini menafi keras bahawa dia terbabit dalam pergaduhan pukul 2.30 pagi di pusat hiburan berkenaan.
Sewaktu perbualan di Genting Highlands itu juga, Dira berkata, tika ini dia tidak boleh membuat pengakuan atau penafian bahawa wanita yang terlibat itu adalah dirinya.
"Tanyalah apa sahaja soalan, kalau boleh jawab saya jawab. Kalau tidak, maaf ya. Berkaitan soalan kakak itu, sekali lagi saya minta maaf kerana mendapat arahan daripada pihak pengurusan agar tidak memberi sebarang kenyataan," katanya terus terang.
Seperti kata pepatah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelombang. Mungkin kali ini, hari Dira, siapa tahu di masa hadapan masalah yang sama akan menimpa kita pula.
Apa-apa pun kita tidak boleh menghukum Dira kerana semua permasalahan yang dihadapinya masih dalam siasatan. Semoga perkara sebegini tidak berulang lagi




No comments:

Post a Comment